SAO PAULO: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh selepas sebuah pesawat ringan terhempas di Barcelos, bandar di pedalaman Amazonas di utara Brazil pada Sabtu, kata pihak berkuasa tempatan.

"Mangsa terdiri daripada pelancong yang dalam perjalanan untuk menjalankan aktiviti memancing," kata Gabenor Amazonas Wilson Lima pada sidang akhbar.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal kesemua pelancong itu merupakan warga tempatan.

Dilaporkan bahawa juruterbang menghadapi masalah mencari landasan untuk mendarat di Barcelos, destinasi kepada penggemar aktiviti memancing.

Syarikat penerbangan Manaus Aerotaxi dalam satu kenyataan media sosial, mengesahkan nahas itu.

Menurut Datuk Bandar Barcelos Edson Mendes, pasukan Pertahanan Awam menjumpai 14 mayat, termasuk 12 penumpang, juruterbang dan pembantu juruterbang.

-- BERNAMA